DIRGAHAYU BAHASAKU
Nantikah modul penuh untuk pengajaran dan pembelajaran anda
CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
PUISI TRADISIONAL
Baca syair di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Syair Makna Riak
Mohd Yusuf Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana menusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.
Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.
Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu disangka ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.
Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.
Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.
Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambaian,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan berulitan.
Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.
Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.
Puisi melayu Tradisi, 1993
(i) Nyatakan kesan perbuatan riak sebagaimana yang terdapat dalam puisi di atas. ( 2 markah )
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang dapat dilakukan untuk membendung perasaan riak yang terdapat dalam diri seseorang? ( 3 markah )
(iii) Jelaskan tiga pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut. ( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Terdapat beberapa kesan perbuatan riak yang dijelaskan dalam Syair Makna Riak. Antaranya ialah amal ibadat orang yang riak tidak diterima oleh Allah. Selain daripada itu, adakalanya mereka akan menanggung dosa akibat daripada perbuatan mereka.
(ii) Pada pendapat saya, kita dapat membendung perasaan riak dengan cara beribadat kepada Tuhan dengan hati yang benar-benar ikhlas. Kita juga perlu sedar akan kesan dan dosa akibat daripada perbuatan tersebut. Selain daripada itu kita juga hendaklah sesalu mengikuti kelas-kelas agama untuk menyucikan jiwa kita.
(iii) Antara pengajaran yang dapat dipetik daripada puisi ini ialah kita janganlah riak dalam melakukan ibadat kerana perbuatan itu menyebabkan amalan kita tidak diterima oleh Allah. Disamping itu pembaca mendapat pengajaran bahawa keimanan hendaklah dizahirkan dari hati yang ikhlas terhadap Allah tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Kita juga hendaklah melakukan amal ibadat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh agar segala ibadat kita akan diterima oleh Allah. Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah mengamal dan mempamerkan ketinggian budi pekerti walaupun di mana sahaja kita berada.
SAJAK
Baca sajak di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Pasar Perasaan
T. Alias Taib
ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.
ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yangterbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.
mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.
ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.
ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.
kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.
ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
(Mingguan Malaysia , 20 Mei 2001)
Nasi Ayam Laut Sepinggan, 2002
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
(i) Jelaskan ciri-ciri pengunjung warung sebagaimana yang digambarkan oleh penulis dalam sajak di atas. ( 2 markah )
(ii) Cadangkan cara-cara seseorang itu dapat mematangkan fikiran mereka. ( 3 markah )
(iii) Nyatakan tiga unsur gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. ( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Antara ciri-ciri pengunjung warung yang digambarkan oleh penulis dalam sajak Pasar Perasaan ialah mereka bersikap emosional. Di samping itu mereka juga berhujah mengikut perasaan mereka sendiri. Pengunjung warung juga digambarkan mempunyai akal yang cetek dengan mengemukakan pendapat yang dangkal dan rapuh.
(ii) Seseorang itu dapat mematangkan fikiran mereka dengan membaca bahan-bahan bacaan yang berbentuk akademik dan pengetahuan am. Selain daripada itu, mereka juga perlu melatih fikiran agar sentiasa berfikiran kritis dan rasional dalam pelbagai perkara. Di samping itu juga mereka perlulah bergaul dengan orang-orang cerdik pandai agar budaya berfikir mereka dapat dipelajari.
(iii) Terdapat beberapa unsure gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini. Antaranya ialah gaya bahasa metafora, contohnya sungai manusia, suara kosong, sungai sibukdan tajuk sajaknya iaitu pasar perasaan.
Penulis juga menggunakan gaya bahasa simile contohnyabagai kayu buruk dan bagai ranting kering.
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering
PROSA TRADISIONAL
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Syahadan, akan Yamtuan Muda pun mengamuk. Anak bininya habislah mati dibunuhnya. Tinggal seorang anaknya, perempuan. Niat hatinya, sudah habis mati anak bininya, hendak mengamuk ke dalam kota . Serta sudah ia membunuh anak isterinya, datanglah takut hatinya, lalu ia terjun, lari ke dalam hutan kayu onak. Ia bersembunyi. Akan Yang Dipertuan Besar, “Tiada aku mahu lari, kerana besar sangat dosaku membunuh ayahanda baginda. Dan baiklah aku serahkan nyawaku,mana dengan perintah Yang Dipertuan.” Maka ia pun datang, dengan tiada berbulang dan tiada berkeris, persembahkan nyawanya. Maka titah baginda kepada hulubalang baginda, “Tiadalah patut. Orang sudah menyerahkan nyawanya kepada kita, tiada patut kita bunuh.” Dan tiada dibunuh baginda.
(Dipetik daripada ‘Hikayat Siak’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berikah maksud rangkai kata mana dengan titah Yang Dipertuan. (2 markah)
(ii) Berdasarkan petikan di atas, jelaskan perbezaan tindakan yang diambil oleh Yamtuan Muda dan Yang Dipertuan Besar. ( 3 markah )
(iii) Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada Yamtuan Muda setelah dia melarikan diri ke dalam hutan? ( 3 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Maksud rangkai kata mana dengan titah Yang Dipertuan ialah menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh raja.
(ii) Tindakan yang diambil oleh Yamtuan Muda dan Yang Dipertuan Besar dalam petikan adalah berbeza. Yamtuan Muda telah membunuh anak dan isterinya sebelum lari dan bersembunyi di dalam hutan. Manakala Yang Dipertuan Besar pula telah mengakui kesalahannya dan menyerah diri kepada raja.
(iii) Pada pendapat saya, setelah melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan, Yamtuan Muda mungkin mati dibaham oleh haiwan ganas di dalam hutan tersebut. Mungkin juga Yamtuan Muda dicari oleh hulubalang raja dan ditangkap. Yamtuan Muda juga mungkin menukar identitinya dan hidup sebagai rakyat biasa di kampung.
CERPEN
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Mak Tua ialah gadis sungai yang Pak Tua kenali ketika Pak Tua menaiki kapal yang menyusuri Sungai Kinabatangan menuju ke hulu membuka kem kayu balak. 40 tahun yang lalu Bandar Sandakan dan daerah Kinabatangan hanya dihubungkan dengan pengangkutan sungai. Lantas, gadis sungai yang sedang mandi-manda sambil membasuh pakaian di lanting bersama dengan kawan-kawannya itu akhirnya membenihkan cinta pertama dalam hati Pak Tua. Tepukan Pak Tua berbalas. Namun perkahwinan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Mak Tua. Alasannya kerana Pak Tua bukan orang peribumi. Pak Tua hanyalah seorang perantau dari Negara jiran. Keluarga Mak Tua khuatir jika Mak Tua akan dibawa ke Negara asal Pak Tua, tetapi Pak Tua memberi jaminan yang dia akan menetap di Sabah. Berkat keluhuran budi Pak Tua dan sokongan ayah Mak Tua sebagai wali, akhirnya Pak Tua berhasil memiliki Mak Tua. Mereka hidup bahagia. Apalagi setelah dikurnia empat orang anak.
(Dipetik daripada cerpen ‘Hutan Rimba’ oleh Sasjira dalam antologiDirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Kenapa keluarga Mak Tua menentang perkahwinan Pak Tua dengan Mak Tua? ( 2 markah )
(ii) Pada pendapat anda, kenapakah Mak Tua tertarik dan menerima cinta Pak Tua? ( 3 markah )
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat yang terdapat dalam petikan di atas. ( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Keluarga Mak Tua menentang perkahwinan antara Pak Tua dengan Mak Tua kerana Pak Tua bukan salah seorang daripada ahli masyarakat tempatan. Mereka khuatir Pak Tua akan membawa Mak Tua ke negara asal Pak Tua.
(ii) Pada pendapat saya, Mak Tua tertarik kepada Pak Tua adalah kerana Pak Tua mencintai Mak Tua dengan ikhlas. Selain daripada itu, Mak Tua juga mungkin tertarik dengan ketabahan dan ketekunan Pak Tua bekerja mencari rezeki untuk menyara hidup. Mak Tua juga mungkin tertarik dengan ketampanan Pak Tua berbanding dengan pemuda tempatan di kampung itu.
(iii) Nilai pertama yang dapat dikesan dalam petikan ialah nilai cinta antara jejaka dan gadis. Jejaka itu adalah Pak Tua semasa empat puluh tahun yang lampau telah jatuh cinta pandang pertama kepada Mak Tua yang merupakan seorang gadis tempatan di Sabah . Manakala nilai yang kedua yang dapat dikesan ialah nilai keikhlasan atau keluhuran budi. Nilai ini terdapat pada diri Pak Tua sehingga ayah Mak Tua percaya dan menerimanya sebagai menantu.
DRAMA
Baca petikan drama di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
JIMAH: Emak dan bapa sekolahkan kamu sampai berjaya. Kami berharap, dengan ilmu yang kamu ada, kamu akan jadi seorang insan yang baik. Macam adik kamu Sani. Dia budak baik. Tidak suka susahkan orang. (Memandang ke arah SANI dan WAN. SANI tunduk sahaja) Emak bapak tidak pandang duit ringgit anak-anak. Duit daki dunia. Tidak ke mana perginya. Orang tua hanya mahukan perhatian, mahu kasih sayang daripada pengorbanan berpuluh-puluh tahun membesarkan anak-anak. Jadikan kamu manusia berguna. (Sekali lagi cuba menahan sebak di dadanya) Bapa kamu hilang di laut. Kamu semua sibuk dengan masalah kamu. Pernah kamu terfikir macam mana seksanya kami sekolahkan kamu? Kadang-kadang kami ikat perut supaya kamu cukup berbelanja. Kamu tahu? Kamu tahu berapa belanja untuk besarkan kamu setiap orang? Huh, kalau hendak diukur dengan duit yang disusun, aku rasa tinggi duit daripada kamu berdiri sekarang ini!
(Dipetik daripada drama ‘Tiang Cengal Dinding Sayung’ oleh Suriani Mohd. Yusof dalamDirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka.
(i) Nyatakan pengorbanan Jimah terhadap anak-anaknya. ( 2 markah )
(ii) Jika anda sebagai anak Jimah, apakah yang akan anda lakukan untuk menunjukkan anda memberikan perhatian kepada ibu anda? ( 3 markah )
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan daripada drama tersebut. ( 4 markah )
Cadangan Jawapan
(i) Jimah berkorban untuk membesarkan anak-anaknya selama empat puluh tahun dengan berlapar atau mengikat perut supaya anak-anaknya cukup belanja untuk ke sekolah. Selain daripada itu dia juga banyak menghabiskan wang untuk membesarkan anak-anaknya.
(ii) Jika saya sebagai anak Jimah, saya boleh memberikan perhatian kepada ibu dengan memperuntukkan lebih masa bersama ibu di kampung. Saya juga boleh meringankan kerja ibu di rumah dengen menyediakan seorang pembantu rumah. Selain daripada itu saya boleh membawa ibu pergi bercuti atau melancong untuk menenangkan perasaan ibu.
(iii) Persoalan yang terdapat dalam petikan ialah persoalan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Mereka juga berusaha untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak sehingga sanggup berlapar. Manakala persoalan yang terdapat dalam drama tersebut ialah persoalan bencana alam yang mengorbankan nyawa dan harta benda. Beberapa orang penduduk kampung terkorban dan hilang semasa tsunami yang melanda kampung berkenaan,
No comments:
Post a Comment