JENIS-JENIS PENDAHULUAN
Pendahuluan Karangan
Pendahuluan karangan sangat penting dalam penulisan karangan
kerana pendahluan karangan yang tepat dan menarik dapat menunjukkan isu yang
hendak dibincangkan secara umum sekali gus memberi gambaran kepada pembaca
bahawa penulis benar-benar faham akan tema yang hendak diketengahkan.
Antara jenis pendahuluan yang boleh digunakan untuk
dimanfaatkan dalam penulisan karangan.
- Pendahuluan jenis definisi
- Pendahuluan jenis persoalan
- Pendahuluan jenis suasana
- Pendahuluan jenis peribahasa
- Pendahuluan jenis pendapat
- Pendahuluan jenis puisi
- Pendahuluan jenis sejarah
- Pendahuluan jenis gabungan.
- Pendahuluan jenis statistik
- Pendahluan jenis lirik lagu.
Latihan:
- --------------------------------------------
Sukarelawan menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat membawa maksud orang lelaki yang melakukan sesuatu dengan
sukarela. Secara umum, sukarelawan boleh
dimaksudkan sebagai seseorang atau kumpulan individu yang sanggup melakukan
sesuatu perkerjaan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Mereka melakukan pekerjaan tanpa mengira masa
demi membantu insan-insan yang memerlukan pertolongan. Malangnya, sejak
akhir-akhir ini, semangat sukarelawan semakin luntur dan hanya segelintir
individu sahaja yang sanggup melakukan sesuatu tanpa sebarang ganjaran.
- ------------------------------------------------
Sungai merupakan anugerah Tuhan
yang tidak ternilai dan amat berharga kepada manusia. Walau bagaimanapun, keadaan beberapa batang
sungai di negara kita berada pada tahap yang kurang memuaskan. Terlalu banyak rungutan dilontarkan oleh
setiap lapisan masyarakat tentang kualiti sungai di negara kita. Persoalannya, mengapakah rungutan-rungutan
ini timbul? Adakah sungai yang mengalir bersih sebelum ini mampu bertukar
menjadi tercemar dengan sendirinya atau berpunca daripada sikap dan perbuatan
manusia sendiri?
- ---------------------------------------------------
Alangkah indahnya suasana ketika
itu. Jeritan suara anak-anak menikmati kesegaran arus sungai yang mengalir
jernih kedengaran memecah kesunyian. Semuanya terasa indah pada saat itu, namun
segala-galanya telah berubah. Kebanyakan sungai di negara kita dikategorikan
sebagai sungai yang berada pada tahap kritikal kerana dihantui masalah pencemaran. Jika keadaan ini terus
dibiarkan, maka fungsi sungai sebagai nadi kehidupan akan tinggal
kenang-kenangan.
- ------------------------------------------------------
Sering kali kita mendengar pengguna
melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti barangan yang dibeli. Malahan ada yang membuat aduan kepada
Persatuan Pengguna di kawasan masing-masing. Pada hakikatnya, jika pengguna
sendiri mengamalkan sikap alah membeli menang memakai pasti rasa tidak puas
hati dapat dielakkan. Sebagai pengguna yang bijak, utamakanlah kualiti barangan
walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit kerana hasilnya pasti memuaskan.
Jadilah pengguna yang bijak dan anda pasti akan terhindar daripada helah para
peniaga.
- -------------------------------------------------------
Menurut Datuk Alimuddin Mohd. Dom,
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia akan
menghantar sebanyak 30 orang pendidik terdiri daripada pengetua dan guru besar
ke King’s College, United Kingdom (UK) untuk mendapat pendedahan tentang sistem
Sekolah Kelompok (Cluster School) di negara berkenaan. Langkah ini merupakan satu langkah bijak
kerana hasilnya, mereka yang dihantar akan kembali dengan pelbagai maklumat
yang pastinya dapat memberi manfaat kepada dunia pendidikan kita.
- -------------------------------------------------------
Malaysia akan menyambut Jubli Emas
kemerdekaan negara kali ke-50 pada 31 Ogos 2007. Tema dan logo “ Malaysiaku Gemilang” pada
tahun ini mengingatkan kita tentang peristiwa pengisytiharan kemerdekaan negara
oleh Yang Teramat Mulia Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, mantan
Perdana Menteri Malaysia Pertama di Stadium Merdeka 50 tahun yang lalu. Laungan
keramat “Merdeka” yang berkumandang pada pagi 31 Ogos 1957 itu merupakan detik
bersejarah sekali gus negara kita bebas daripada belenggu penjajah.
- --------------------------------------------------
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa
.
Pantun lama ini jelas menunjukkan
kepada kita bahawa budi bahasa amat penting untuk diamalkan dan seseorang yang
berbudi bahasa akan dipandang tinggi dalam masyarakat. Oleh itu, pelbagai
langkah perlu diambil bagi memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan
generasi muda pada hari ini.
- -----------------------------------------------------
Menurut
statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, secara
keseluruhannya, pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun
2000 jelas menunjukkan bahawa pencapaian murid Bandar melebihi tahap penguasaan
minimum (A, B, C ) bagi subjek Bahasa Inggeris, iaitu 67.5 peratus berbanding
dengan murid luar Bandar, iaitu 51.9 peratus.
- --------------------------------------------------------
Jika kau
fikirkan kau boleh,
Kau hampir boleh
melakukan,
Jika kau
fikirkan ragu-ragu,
Usahamu tidak
menentu.
Jika diteliti
lirik lagu tersebut, jelas sekali bahawa keazaman dan semangat menjadi penentu
kepada kejayaan seseorang. Tanpa keazaman yang kuat, sudah pasti kejayaan sukar
dicapai sebaliknya jika kita senantiasa berfikiran positif dan berazam untuk
berjaya, pasti kita dapat menikmati hasilnya.
No comments:
Post a Comment