Drama adaptasi karya sastera lebih 'berpijak' di bumi nyata
PENERBITAN drama bersiri diadaptasi daripada novel memang fenomena dalam kalangan peminat cereka di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, pada masa sama kualiti drama ditayangkan sering dipersoalkan, bahkan nilai sastera dalam sesebuah drama juga selalu terpinggir.
Formula penerbitan sama iaitu mengadaptasi kisah cinta daripada novel paling laris serta menampilkan wajah baharu sebagai teraju utama, trend yang mendapat perhatian peminat walaupun secara kasar sesetengah naskhah berkenaan tidak berupaya mewakili norma kehidupan masyarakat secara menyeluruh.
Tema lapuk dan remeh seperti kahwin paksa, skandal, cemburu dan konflik anak muda yang berlatarkan keluarga korporat sering diperagakan dalam hampir semua saluran yang mempunyai slot drama Melayu.
Alasan sering dilontarkan penerbit dan stesen televisyen - apa yang disiar berdasarkan permintaan pasaran. Diakui pertaruhan terbabit cukup berbaloi sehingga memberikan pulangan lumayan kepada produksi dan impak positif terhadap graf rating stesen televisyen. Namun, idea dan elemen mengetengahkan budaya tempatan sedikit terpinggir.
Menyaksikan drama bersiri 13 episod, Ayahanda, di slot Lestari di TV3 bermula 10 Julai dan berakhir Sabtu lalu, sedikit sebanyak mengubati kerinduan, terutama kepada penggemar drama adaptasi daripada naskhah sastera.
Ayahanda drama bersiri inspirasi daripada novel karya Allahyarham Azizi Abdullah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), memaparkan realiti dan konflik sebenar yang berlaku dalam sebuah keluarga.
Karya mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang ini sarat emosi, pengajaran dan empati. Konflik antara ibu bapa dan anak dipaparkan turut membuat ramai dibuai emosi, terutama yang terpisah lama dengan keluarga akibat pandemik.
Tahniah kepada semua yang menjayakan drama ini serta TV3 yang berani menggalas tanggungjawab sosial ini.
Novel terbitan 1997 dengan berlatarkan sebuah kampung di utara tanah air pada 1980-an ini berjaya digarap dengan baik oleh pengarah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, mengambil latar masa kini tanpa menjejaskan mesej ingin disampaikan penulis novel.
Sebelum ini juga, sebuah cerpen karya Azizi, Pendoa Yang Ikhlas pernah diangkat menjadi sebuah telefilem pada 2019 oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama DBP yang disiarkan dalam slot Panggung RTM.
Cerpen ideanya mirip novel Ayahanda ini berjaya dihidupkan jalan ceritanya serta diterjemahkan ke dalam bahasa filem dengan baik oleh pengarah Wan Afzam Wan Daud.
Selain itu, diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973, Srengenge, karya Sasterawan Negara, Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, juga pernah diadaptasi sebagai super telefilem pada 2017 oleh RTM dengan kerjasama DBP dan diarahkan oleh Mahudin Ibrahim.
Hasilnya, ia berjaya mengungguli beberapa kategori dalam Anugerah Telenovela 2018 serta diulang siar.
Hakikatnya, karya sastera membawa nilai pemikiran tinggi juga boleh menarik minat penonton dan mendapat sambutan serta diiktiraf jika diolah dengan baik.
Penonton kini ketandusan drama yang menyingkap realiti sosial seperti ini kerana terlalu sering disogok lambakan drama berlatarkan dunia korporat saban hari serta dibuai tema cinta tak kesampaian.
Tidak banyak karya besar daripada penulis hebat seperti Azizi dan seangkatan dengannya mahupun Sasterawan Negara diangkat dalam bentuk drama kerana ia menelan kos tinggi.
Sesetengah stesen televisyen pula enggan menyiarkan naskhah sedemikian atas alasan karya seperti itu gagal menarik minat golongan muda. Benarkah begitu?
Apa sekalipun, selain memikirkan keuntungan dan pulangan lumayan, penggiat drama juga seharusnya tidak meminggirkan nilai pendidikan yang boleh mencorakkan minda masyarakat dengan ilmu berguna.
Dengan kata lain, aspek komersial dan intelektual dalam sesebuah drama perlu seimbang. Amat diharapkan selepas Ayahanda akan muncul lebih banyak karya sastera bermutu yang diadaptasi penggiat drama tempatan. Di pihak stesen televisyen pula dapat menyediakan slot khas untuk karya sedemikian. Beranikah mereka mengambil risiko?
Ayahanda membuktikan sesebuah hasil karya sastera jika diserahkan kepada mereka yang layak, berwibawa dan mempunyai penghayatan tinggi terhadap sastera serta dipromosi dengan giat, tidak mustahil mendapat sambutan hangat penonton. Cakap-cakap di media sosial membuktikan segalanya.
No comments:
Post a Comment