Thursday, May 11, 2017

KARANGAN CONTOH

Peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga bahagia
        Gandingan usaha gigih pihak pemerintah dan rakyat pada hari ini, hasilnya, negara kita telah berjaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Alhamdulilah banyak kejayaan telah kita nikmati. Namun, secara rutinnya, kita sering digembar-gemburkan dengan polemik-polemik kepincangan dan kehancuran institusi keluarga yang amat menggetarkan lagi mendebarkan perasaan. Isu-isu kepincangan, krisis hidup berkeluarga sering dikaitkan dengan  elemen materialistik dan egoistik yang menyulami kehidupan. Yang menjadi tanda tanya, apakah langkah yang paling afdal untuk mengatasi keberantakan hidup berkeluarga? Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum padi berbunga lalang ibu bapa perlu menjana minda, mengaplikasi pertautan muafakat, menyuburkan suasana harmoni dalam kehidupan berkeluarga. Ternyata dalam pelbagai aspek kehidupan, ibu bapa memainkan peranan paling penting dan utama, membentuk keluarga bahagia yang  saya, anda dan kita semua idam-idamkan. Ayuh, kita bincangkan satu persatu peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga bahagia
        Sebagai pembuka bicara, marilah kita melensakan peranan paling berkesan ibu bapa dalam mewujudkan keluarga bahagia. Ibu bapa hari ini tidak usahlah terlalu mengejar kekayaan duniawi hingga menyebabkan anak-anak berasa diri  tersisih, terabai dan terpaksa menyendiri. Apalah gunanya tinggal di rumah agam tetapi sifar bahagia, tandus kasih sayang. Ibu bapa seyogianya perlu mengambil langkah paling sofistikated tetapi indah mendekati dan  mengambil berat tentang anak-anak mereka. Jangan biarkan anak-anak 'kehilangan' dalam cahaya nan terang benderang. Anak-anak ibarat  kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi mereka agar menjadi insan yang berguna. Luangkanlah masa bersama-sama anak-anak agar anak-anak dapat menikmati kehidupan dalam sebuah keluarga bahagia yang diidam-idamkan.Sesungguhnya bukan wang ringgit, emas sesaga yang jadi rebutan tetapi kasih-sayang ibu bapa penentu bahagia. Biduan tersohor pernah mengungkapkan,.... ayah dan ibu itulah permulaan kami dapat melihat bulan dan matahari............ 
    Secara peribadi saya berpendapat keluarga bahagia dapat dibentuk apabila setiap ahlinya atau anggota keluarganya sihat sejahtera. Ibu bapa hendaklah menerapkan amalan pemakanan seimbang untuk seisi keluarga. Yang pasti amalan pemakanan seimbang perlulah berpandukan piramid makanan yang lebih mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan, manakala lemak dan gula dalam pemakanan harian keluarga hendaklah dikurangkan. Nescaya terelaklah keluarga kita daripada ancaman penyakit berbahaya yang boleh merencatkan dan merenjatkan kebahagiaan. Peranan ibu bapa ternyata amat jelas dalam menentukan menu harian keluarga, yang apabila suasana ceria terjalin di meja makan, maka dengan sendirinya, terbinalah sebuah keluarga sejahtera, bahagia.
         Jika ditelusuri daripada  dimensi yang berbeza pula, ibu bapa perlu  memantau perilaku anak-anak mereka dalam usaha mewujudkan keluarga bahagia. Ibu bapa hendaklah  melihat dan meninjau perilaku anak-anak sama ada positif atau negatif. Anak-anak yang melakukan perilaku positif  wajarlah diberi pujian, berikan mereka setulus-ikhlas penghargaan, manakala anak-anak yang melakukan amalan negatif hendaklah dinasihati dan berikanlah anak itu kasih sayang, didikan agama yang sama rata agar  tidak ada kalangan anak pasrah  menconteng arang ke muka ibu bapa. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Anak-anak yang usianya baru setahun jagung,  tidak akan terjebak dalam kancah kehinaan jika mendapat kasih sayang, jagaan rapi dan paling penting luahan rasa penghargaan daripada kedua-dua orang tua mereka. Lumrahnya, bahagia anak-anak, bahagialah ibu bapa, waima terbentuklah sebuah keluarga bahagia
       Musim silih berganti, ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka sendiri. Mereka perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka agar dapat dicontohi kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya, contohnya, ibu bapa hendaklah berlemah-lembut dalam sembang santai, menegur anak secara berhemah, akhirnya  senyuman pasti terukir di wajah anak-anak dan ibu bapa. Apabila sikap mahmudah ini sering ditonjolkan untuk diteladani oleh anak-anak mereka, nescaya kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga dapat dinikmati dan menjadi nostalgia paling indah dalam kehidupan. Anak-anak pasti amat berbangga mempunyai ibu bapa yang berwibawa  dan berjiwa murni. Jadi kalau tepat dengan cara dan kaedahnya, maka kebahagiaan hidup berkeluarga  bakal kita capai. Matlamat keluarga bahagia pasti menjadi kenyataan.
          Jika disingkap dari tirai yang lain pula, ibu bapa yang mempunyai ciri keibubapaan yang mutlak adalah mereka yang mendahulukan urusan ukhrawi melebihi urusan duniawi. Sebagai contoh, membawa anak-anak ke masjid, menghantar mereka ke kelas agama dan solat berjemaah. Apabila anak-anak diberikan didikan agama, mereka akan mendapat panduan hidup yang lebih sempurna dan seterusnya mendorong mereka menjadi insan yang bitara. Tambahan pula, anak-anak pada zaman serba makmur ini sentiasa berhadapan dengan godaan, cabaran, dan kemelut sosial dari hari ke hari. Ingat, dadah boleh merenggut kebahagiaan sesebuah keluarga. Bahagia yang dibentuk bertahun-tahun boleh hilang begitu sahaja, 'sekelip mata' hilangnya, kerana dadah durjana. Realitinya hari ini, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam nurani anak-anak agar hidayah Allah memberkati kehidupan sebuah keluarga bahagia. InsyaAllah.
         Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan paling signifikan dalam  melahirkan dan membentuk keluarga bahagia. Tokoh  tersohor Mahatma Ghandi  pernah berkata ‘mendidik anak-anak umpama  menanam biji benih, benih  harus dibaja, disirami dan dibelai dengan penuh kasih sayang’. Kendatipun begitu, kalau anak melakukan kesilapan, silapnya hendaklah ditegur, andai mereka tersesat di hujung jalan, bimbinglah anak-anak untuk kembali ke pangkal jalan. Ingat pula pesan pandai bestari, kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang usia. Semoga ibu bapa terus berperanan membentuk keluarga bahagia.

No comments:

Post a Comment