FAKTOR-FAKTOR PENDERAAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Pada zaman yang penuh dengan pembangunan ini, masyarakat kini semakin rakus mengejar kebendaan dan semakin mengabaikan sikap prihatin terhadap masyarakat yang lain. Mereka kini sudah menetapkan sifat persaingan antara masyarakat kini sangat penting untuk menjadi yang terbaik dan mendapat kehidupan yang baik. Bak kata mutiara oleh Sydney Charles Buxton ‘kehidupan ini seperti permainan catur, siapa yang memandang jauh ke depan dialah yang menang’. Sesetengah ibu bapa yang terlalu mementingkan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak juga semakin meningkat pada akhir-akhir ini. Sifat keibubapaan dalam diri mereka semakin hari semakin hilang tanpa mereka sedari. Oleh sebab itu, kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini semakin meningkat. Sifat belas kasihan dalam diri sudah tiada lagi.
Perkara ini boleh berlaku dalam kalangan masyarakat kita kerana nilai-nilai moral sudah tiada lagi dalam diri. Oleh sebab terlalu sibuk dan penat dengan tugas atau pekerjaan, stres yang dialami akan dilemparkan kepada anak-anak. Anak-anak yang menanti kepulangan ibu atau bapa akan di marahi atau dipukul sehingga anak-anak menangis kesakitan dan terdapat lebam-lebam pada anggota badan. Ibu bapa yang melakukan perkara yang sedemikian tidak menghiraukan atau berasa belas kasihan terhadap anak-anak mereka yang mereka sakiti. Nilai moral seperti sifat perikemanusiaan dan kasih sayang yang tidak kukuh dalam diri akan mudah hilang jika mereka tidak mengamalkan nilai-nilai moral tersebut.
Selain itu, ilmu pengetahuan agama dalam diri mereka sangat kurang dan terdapat juga sesetengah individu yang tiada langsung tentang ilmu pengetahuan agama. Ilmu agama adalah sangat penting dalam hidup setiap individu. Agama akan memberi petunjuk kepada individu tentang sesuatu perkara yang baik ataupun buruk. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang agama sejak kecil dan mengaplikasikan setiap ajaran agama dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sebagai manusia yang bertamadun dan mempunyai akal fikiran, kita seharusnya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Mendera kanak-kanak adalah perbuatan yang salah kerana kanak-kanak merupakn amanah yang dititipkan olah Tuhan kepada kita untuk meneruskan generasi. Sebagai ibu bapa seharusnya bersyukur di kurniakan anak bukannya mendera mereka.
Di samping itu, media massa juga mempengaruhi pemikiran setiap lapisan masyarakat pada masa kini. Media massa yang berunsurkan aksi ganas kerap kali dapat kita saksikan di kaca televisyen seperti rancangan ‘WWE’ dan filem-filem yang berunsurkan pergaduhan seperti ‘Crows Zero’. Aksi-aksi yang di paparkan ini akan memanipulasikan pemikiran dan mengubah seseorang individu menjadi ganas. Secara tidak langsung , ibu atau bapa yang berasa sukar untuk mendidik anak-anak akan menggunakan kekerasan untuk mendidik anak-anak. Setiap aksi ganas yang telah mereka saksikan akan digunakan untuk mendidik anak-anak tanpa memikirkan kesan negative perbuatan tersebut. Tanpa mereka ketahui, perbuatan tersebut merupakan penderaan bagi kanak-kanak. Sebagai ibu bapa kepada anak-anak perlulah belajar tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak supaya tidak menyakiti anak-anak yang tidak bersalah malah mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.
Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah tidak akan dapat membanteraskan kes penderaan kanak-kanak ini. Sebagai negara yang berdemokrasi parlimen dan mempunyai undang-undang, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya sejajar dengan undang-undang yang telah ditetapkan. Ibu bapa atau penjaga yang mendera kanak-kanak sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa anak-anak bukanlah boneka yang tidak bernyawa dan boleh diperlakukan seperti boneka yang tidak bernyawa. Apabila sudah menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, nyawa anak sudahpun menghilang dan tidak dapat dikembalikan. Bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Kesimpulannya, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab seharusnya sudah mengetahui cara-cara hidup berkeluarga dan cara-cara untuk menjaga dan mendidik anak-anak. Untuk menjayakan hal ini, Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan adalah sangat penting dijadikan bahan pembelajaran di sekolah kerana setiap perkara yang dipelajari dalam matapelajaran tersebut berkaitan dengan kehidupan yang kita jalani. Kanak-kanak merupakan generasi muda yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara serta mencapai Wawasan 2020 yang merupakan propaganda mantan perdana menteri kita yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir. Nilai-nilai moral seharusnya diaplikasikan oleh setiap lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian disamping dapat membentuk warganegara yang bertamadun dan bertauliah.
No comments:
Post a Comment