Untuk ayat pasif bentuk ini, kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Hal ini demikian kerana kata ganti nama diri orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua yang hadir di hadapan kata kerja dasar itu boleh berbentuk kata penuh ataupun kata ringkas, yakni"aku" - "ku-", "engkau" - "kau" dsb.
Contoh:
13. Makanan itu belum aku rasai lagi.
14. Makanan itu belum kurasai lagi.
15. Hutang itu akan engkau jelaskan sepenuhnya.
16. Hutang itu akan kaujelaskan sepenuhnya.
Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri Orang Ketiga
Contoh:
17. Sajak itu ditulis oleh Cikgu Ali.
18. Tikus dikejar oleh kucing di tepi longkang.
19. Khemah itu telah didirikan oleh mereka.
20. Buku Sejarah Melaka akan dibeli oleh ayah apabila bertandang ke pesta buku esok.
Ayat Pasif dengan Kata Bantu Pasif Kena
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh, secara pilihan, digugurkan seperti contoh yang berikut:
Contoh:
21. Pencuri itu kena tangkap (oleh polis).
22. Budak-budak itu kena kejar (oleh anjing).
23. Pemuda itu kena pukul (oleh rakannya).
Latihan:
Nyatakan sama ada ayat-ayat yang berikut gramatis atau sebaliknya.
1. Cerpen itu telah ditulis oleh saya. ( )
2. Projek tersebut telah mereka siapkan. ( )
3. Karangan itu saya telah hasilkan. ( )
4. Ladang kelapa sawit itu diusahakan oleh Pak Ali. ( )
5. Surat itu perlu kamu balas segera. ( )
6. Kaki Mei Leng tertusuk oleh duri sewaktu bermain
bola jaring di padang. ( )
7. Adik Mei Leng kena marah oleh ibu. ( )
8. Sayur-mayur itu telah Nyonya Tan beli. ( )
9. Orang tua itu sedang bersenam. ( )
10. Warkah daripada Mutu kamu perlu balas segera. ( )
11. Remaja itu kemalangan semalam. ( )
12. Hasrat tuan hamba telah hamba tunaikan kelmarin. ( )