Wednesday, March 6, 2019

BEBERAPA PETUA HIDUP

Maksud Gurindam GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (Za’ba)
Rangkap 1
Peringatan kepada pembaca sekiranya kurang berfikir dan kurang menyelidik terlebih dahulu, pasti akan menyebabkan hidup menjadi sesat.

Rangkap 2
Saranan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.

Rangkap 3
Kata-kata yang kesat dan kurang sopan jika dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat.

Rangkap 4
Sekiranya seseorang berbicara dengan kata-kata yang pedas dan kurang sopan boleh menyebabkan dia mengalami masalah yang besar.

Rangkap 5
Seseorang yang gemar hidup bermusuh akan sentiasa bermasalah
Rangkap 6
Saranan agar pembaca tidak menimbulkan persengketaan tetapi jika perkara itu berlaku perlulah diterima dengan tabah.

Rangkap 7
Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna kurang lengkap dan kurang sesuai untuk diamalkan.

Rangkap 8
Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi rajin untuk menuntut ilmu.

Rangkap 9
Saranan agar bijak memilih sahabat dan taulan di dunia yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai kerenah dan sifat manusia.

Rangkap 10
Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui rakan taulan yang didampinginya.

Rangkap 11
Lazimnya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifat dan fiilnya untuk memudahkan mereka bekerjasama dan bergaul mesra.

Rangkap 12
Seseorang yang bersifat budiman akan sentiasa dipandang dan disanjung tinggi.

Rangkap 13
Seseorang yang bersifat dermawan akan dapat melawan hati orang di sekelilingnya.

Rangkap 14
Seseorang yang bersifat pemurah akan memudahkannya untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

Rangkap 15
Nama seseorang yang membuat jasa akan disanjung pada setiap masa.
Rangkap 16
Saranan agar pembaca memperbaik kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menolong sesama manusia

Rangkap 17
Perbuatan mengadu domba dan membuat fitnah boleh menyebabkan hubungan sesama manusia tidak harmoni.

Rangkap 18
Peringatan agar tidak melakukan perbuatan khianat sesama manusia kerana Tuhan pasti akan melaknati orang yang berbiat demikian


Tema
Gurindam “Beberapa Petua Hidup” bertemakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari.  Nilai-nilai murni yang positif serta diamalkan ini nescaya dapat melahirkan insan yang bersahsiah dan berdisiplin.

Persoalan
1.      Kegigihan dalam membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian manusia.
2.      Kesungguhan dalam mengamalkan nilai-nilai murni.
3.      Rasional dalam membuat sebarang tindakan.
4.      Ketekunan dalam menuntut ilmu.
5.      Sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia.
6.      Kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia.
7.      Keadilan Tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia.

Bentuk Gurindam
1.      Gurindam “Beberapa Petua Hidup” ialah puisi terikiat/tidak bebas.
2.      Gurindam ini terdiri daripada lapan belas rangkap.
3.      Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.  Baris pertama ialah syarat dan baris kedua pula ialah jawab.
4.      Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama, iaitu antara tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris.
5.      Bilangan suku kata dalam setiap baris terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata.
6.      Rima akhir gurindam ialah aa.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi
1.      Antara unsur gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam ”Beberapa Petua Hidup” termasuklah :
a)     Kata arkaik (kata klasik).  Contohnya: upas
b)     Kata pinjaman bahasa Arab.  Contohnya: khianat; laknat
c)     Perulangan atau repetisi.  Contohnya: Kurang fikir, kurang siasat,
d)     Peribahasa.  Contohnya: Telunjuk lurus kelengkeng berkait
e)     Simile.  Contohnya: Ibarat beringin, racun dan upas.
f)       Metafora.  Contohnya: mulut tajam dan kasar; taman pergaulan
g)     Inversi.  Contohnya: Tentu dirimu kelak tersesat.

2.      Antara unsur keindahan bunyi yang digunakan termasuklah:
a)     Asonansi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan vokal a:  Perkataan tajam jika dilepas
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal sebanyak tujuh kali.

                                    ii.          Perulangan vokal iManusia dikenal sifat budinya
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vokal sebanyak empat kali.
b)     Aliterasi.  Contohnya:
                                     i.          Perulangan konsonan sSupaya terelak silang sengketa
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan s sebanyak dua kali.
                                    ii.          Perulangan konsonan tTetapi tolonglah dirimu dahulu.
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan t sebanyak dua kali.

Nilai
1.      Nilai kebijaksanaan.  Contohnya, kita perlu bijak dalam memilih sahabt dan taulan di dunia yang diibaratkan sebagai sebuah taman pergaulan.
2.      Nilai rasional.  Contohnya, kita dinasihatkan agar berfikir dahlu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan sebarang salah faham dan sengketa sesama manusia.
3.      Nilai kesopanan.  Contohnya, kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menggores hati orang lain.
4.      Nilai kerajinan.  Contohnya, kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.
5.      Nilai mengenang jasa.  Contohnya, seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.
6.      Nilai kerjasama.  Contohnya, sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.
7.      Nilai baik hati.  Contohnya, kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.
8.      Nilai setia kawan.  Contohnya, seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.

Pengajaran
1.      Kita hendaklah berfikir secara rasional dan mendalam terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata untuk mengelakkan salah faham.
2.      Kita mestilah bijak memilih sahabat yang dapat memimpin kita ke jalan yang lurus dan benar.
3.      Kita perlulah menjaga tutur kata apabila berbicara dengan orang lain untuk mengelakkan sengketa. 
4.      Kita mestilah rajin belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menambahkan pengetahuan.
5.      Janganlah kita mengadu domba dan membuat fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia.
6.      Janganlah kita berlebih-lebihan menolong orang lain sedangkan pada waktu itu sendiri berada dalam kesusahan.
7.      Kita hendaklah sentiasa berbudi sesama manusia agar dikenang orang.