Sunday, February 8, 2015

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN


Penggunaan Penanda Wacana Dalam Karangan



Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah, dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, ia akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Contoh penanda wacana seperti berikut:



Tambahan : dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping

Urutan : pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya

Penyataan semula : iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan

Contoh : contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai

Rumusan : rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata

Tempat : berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan

Waktu : apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya

Sebab dan kesan : oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu

Bandingan : seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan

Pertentangan : tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan

Pengesahan : sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya

Perenggan Pendahuluan

Dewasa ini...
Belakangan...
Kebelakangan ini...
Baru-baru ini...
Mutakhir ini...
Akhir-akhir ini...
Dalam era globalisasi...

Perenggan isi

Di samping itu...
Sehubungan dengan itu...
Jika diteliti dengan lebih mendalam...
Sehubungan...
Sebagai lanjutan daripada...
Bersangkutan dengan hal...
Berkaitan...
Bersangkutan...
Disingkapkan...
Diceritakan...
Tindakan yang diketengahkan di atas...
Walau bagaimanapun...
Bertitik tolak daripada kenyataan di atas...
Jika ditinjau daripada aspek ...pula,..

Perenggan Penutup

Hal ini demikian...
Akhirnya saya menegaskan bahawa...
Kesimpulannya...
Akhirnya...
Sebagai penutup...br> Konklusinya...
Akhirulkalam...
Tegasnya...
Pendek kata...
Daripada penerangan di atas jelaslah bahawa...
Menyedar hakikat di atas...
Di sini saya ingin tegaskan...

Lain-lain

Pada hakikatnya / Sesungguhnya,...
Sebenarnya, / Pada hakikatnya,...
Dengan kata lain /Dengan erti kata yang lain...
Maksudnya di sini...
Hal ini bermakna...
Oleh sebab itu/ lantaran itu...
Walhal/Oleh hal yang demikian...
Sedangkan / Pada hal...
Meskipun/Sungguhpun...
Walaupun / sekalipun...
Ekoran daripada / Akibatnya...
Rentetan daripada/ lanjutan itu...
Dalam konteks ini/Dalam hubungan ini...
Hal ini bertepatan /bersesuaian dengan...
Hal ini memang sejajar dengan...
Situasi ini seolah-olah mengambarkan...
Tidak syak lagi/ Tidak dapat tidak...
Namun begitu...
Lebih-lebih lagi...
Tambahan pula...
Justeru...
Oleh hal yang demikian...
Sungguhpun demikian...

Contoh penggunaan penanda wacana 

Penanda Wacana Untuk Ayat Pertama Setiap Perenggan

- Kita dapat menyaksikan betapa......
- Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana...
- Lazimnya, dalam keadaan....
- Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ....
- Pada hemat saya ......
- Pada pandangan saya ....
- Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ....
- Sebagaimana yang kita ketahui ...
- Sebagaimana yang kita maklumi ...
- Sejak awal lagi ...
- Sejak kebelakangan ini ....
- Selain itu, pada masa ini juga ...
- Seperti yang telah dinyatakan...
- Umum mengetahui bahawa...
- Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas ...

Penanda Wacana Untuk Ayat Kedua dan Seterusnya Dalam Karangan

- Bagi sesetengah orang ....
- Begitu juga dengan ..
- Begitu juga halnya dengan ...
- Bertitik tolak daripada itu ...
- Bukan itu sahaja ...
- Dalam hal ini...
- Dalam konteks ini...
- Dalam zaman yang serba canggih ini...
- Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa.....
- Dengan adanya....
- Dengan berbuat demikian.....
- Dengan perkataan lain....
- Disebabkan hal itu....
- Disebabkan keistimewaan inilah kita.........
- Hal ini berlaku disebabkan.....
- Hal ini penting dalam....
- Hal ini serupa dengan....
- Hal yang serupa berlaku apabila.....
- Hal ini disebabkan.....
- Hal ini membuktikan bahawa....
- Hal ini menggambarkan bahawa.....
- Hal ini secara tak langsung akan...
- Hal ini semua meninggalkan kesan kerana....
- Hal ini tentu sekali membuatkan....
- Jadi kita perlu.....
- Jadi kita hendaklah......
- Keadaan ini tentunya.....
- Lantaran itu sehingga kini...
- Kesemua ini menyumbang kepada....
- kita mengakui bahawa.....
- Kita sering menonton di kaca telivesyen...
- Kita sering membaca di dada-dada akhbar....
- Memandangkan keadaan yang sedemikian....
- Namun sejak kebelakangan ini....
- Oleh itu bolehlah dikatakan....
- Secara logiknya masa yang.....
- Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita....
- Keadaan ini seharusnya boleh.....
- Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini....
- Kendatipun demikian, kita masih....
- Yang paling nyata ialah...
- Yang perlu kita pastikan ialah...

Thursday, February 5, 2015
















 

FAKTOR-FAKTOR PENDERAAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA (KARANGAN BAHAGIAN A)

Pada zaman yang penuh dengan pembangunan ini, masyarakat kini semakin rakus mengejar kebendaan dan semakin mengabaikan sikap prihatin terhadap masyarakat yang lain. Mereka kini sudah menetapkan sifat persaingan antara masyarakat kini sangat penting untuk menjadi yang terbaik dan mendapat kehidupan yang baik. Bak kata mutiara oleh Sydney Charles Buxton ‘kehidupan ini seperti permainan catur, siapa yang memandang jauh ke depan dialah yang menang’. Sesetengah ibu bapa yang terlalu mementingkan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak juga semakin meningkat pada akhir-akhir ini. Sifat keibubapaan dalam diri mereka semakin hari semakin hilang tanpa mereka sedari. Oleh sebab itu, kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini semakin meningkat. Sifat belas kasihan dalam diri sudah tiada lagi.

              Perkara ini boleh berlaku dalam kalangan masyarakat kita kerana nilai-nilai moral sudah tiada lagi dalam diri. Oleh sebab terlalu sibuk dan penat dengan tugas atau pekerjaan, stres yang dialami akan dilemparkan kepada anak-anak. Anak-anak yang menanti kepulangan ibu atau bapa akan di marahi atau dipukul sehingga anak-anak menangis kesakitan dan terdapat lebam-lebam pada anggota badan. Ibu bapa yang melakukan perkara yang sedemikian tidak menghiraukan atau berasa belas kasihan terhadap anak-anak mereka yang mereka sakiti. Nilai moral seperti sifat perikemanusiaan  dan kasih sayang yang tidak kukuh dalam diri akan mudah hilang jika mereka tidak mengamalkan nilai-nilai moral tersebut.

             Selain itu, ilmu pengetahuan agama dalam diri mereka sangat kurang dan terdapat juga sesetengah individu yang tiada langsung tentang ilmu pengetahuan agama. Ilmu agama adalah sangat penting dalam hidup setiap individu. Agama akan memberi petunjuk kepada individu tentang sesuatu perkara yang baik ataupun buruk. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang agama sejak kecil dan mengaplikasikan setiap ajaran agama dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sebagai manusia yang bertamadun dan mempunyai akal fikiran, kita seharusnya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Mendera kanak-kanak adalah perbuatan yang salah kerana kanak-kanak merupakn amanah yang dititipkan olah Tuhan kepada kita untuk meneruskan generasi. Sebagai ibu bapa seharusnya bersyukur di kurniakan anak bukannya mendera mereka.

             Di samping itu, media massa juga mempengaruhi pemikiran setiap lapisan masyarakat pada masa kini. Media massa yang berunsurkan aksi ganas kerap kali dapat kita saksikan di kaca televisyen seperti rancangan ‘WWE’ dan filem-filem yang berunsurkan pergaduhan seperti ‘Crows Zero’. Aksi-aksi yang di paparkan ini akan memanipulasikan pemikiran dan mengubah seseorang individu menjadi ganas. Secara tidak langsung , ibu atau bapa yang berasa sukar untuk mendidik anak-anak akan menggunakan kekerasan untuk mendidik anak-anak. Setiap aksi ganas yang telah mereka saksikan akan digunakan untuk mendidik anak-anak tanpa memikirkan kesan negative perbuatan tersebut. Tanpa mereka ketahui, perbuatan tersebut merupakan penderaan bagi kanak-kanak. Sebagai ibu bapa kepada anak-anak perlulah belajar tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak supaya tidak menyakiti anak-anak yang tidak bersalah malah mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.

             Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah tidak akan dapat membanteraskan kes penderaan kanak-kanak ini. Sebagai negara yang berdemokrasi parlimen dan mempunyai undang-undang, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya sejajar dengan undang-undang yang telah ditetapkan. Ibu bapa atau penjaga yang mendera kanak-kanak sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa anak-anak bukanlah boneka yang tidak bernyawa dan boleh diperlakukan seperti boneka yang tidak bernyawa. Apabila sudah menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, nyawa anak sudahpun menghilang dan tidak dapat dikembalikan. Bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’.

            Kesimpulannya, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab seharusnya sudah mengetahui cara-cara hidup berkeluarga dan cara-cara untuk menjaga dan mendidik anak-anak. Untuk menjayakan hal ini, Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan adalah sangat penting dijadikan bahan pembelajaran di sekolah kerana setiap perkara yang dipelajari dalam matapelajaran tersebut berkaitan dengan kehidupan yang kita jalani. Kanak-kanak merupakan generasi muda yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara serta mencapai Wawasan 2020 yang merupakan propaganda mantan perdana menteri kita yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir. Nilai-nilai moral seharusnya diaplikasikan oleh setiap lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian disamping dapat membentuk warganegara yang bertamadun dan bertauliah

PUNCA-PUNCA PENDERAAN


Penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang semakin serius. Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya gejala ini? 

Masalah penderaan ke atas kanak-kanak kini dikatakan semakin serius berlaku di negara kita.Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya gejala ini? Apakah yang akan terjadi pada anak-anak yang terlibat dalam kes penderaan ini kelak jika gelaja ini berterusan?Hal ini telah menimbulkan kerisauan kepada pelbagai pihak.Justeru, apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ini?

Antara punca utama yang menyebabkan gejala penderaan kanak-kanak ini adalah berpunca daripada individu yang tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik. Hal ini tercetus apabila individu ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan berkesan. Dengan ini, individu tersebut akan melepaskan perasaan geram dan kemarahan mereka dengan melakukan penderaan terhadap mereka yang lemah. Sebagai contoh, individu ini akan memukul anak-anak mereka sehingga menimbulkan kecederaan yang serius kepada mereka. Justeru, setiap individu perlu belajar mengawal emosi walaupun berdepan dengan tekanan yang hebat dalam kehidupan seharian, bak kata pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.

Selain itu,setiap perkara yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Begitulah juga dengan gejala penderaan kanak-kanak yang berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Hal ini berlaku demikian kerana pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga mengundang tekanan dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang mengalami tekanan tidak akan dapat memberikan layanan serta kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh anak-anak mereka. Tamsilnya, ibu bapa yang mengalami stres akan melepaskan tekanan dengan cara mendera anak-anak mereka. Rentetan hal ini, nilai kasih sayang haruslah disemai dalam setiap institusi kekeluargaan agar keluarga menjadi lebih harmoni dan sekaligus mencegah gejala penderaan terhadap anak-anak.

Di samping itu, kes penderaan kanak-kanak-kanak juga semakin berleluasa kerana masyarakat tidak cakna dan hanya mementingkan diri sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tiada jalinan perhubungan yang kukuh antara komuniti setempat. Dengan ini, kes penderaan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang wajar untuk mencegahnya. Sebagai contoh, ketika berlakunya sesuatu kes penderaan di rumah jiran mereka, jiran tetangga hanya membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa bertindak untuk mencegahnya seperti kata pepatah,‘Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.Oleh itu, masyarakat perlulah memainkan peranan yang aktif bagi menangani isu penderaan ini agar tidak berlarutan.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa penderaan kanak-kanak merupakan masalah yang serius di negara kita. Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mengambil tindakan yang lebih efektif bagi membanteras gejala penderaan ini daripada terus berlaku. Sekiranya kerajaan mengambil tindakan sedemikian, sudah pasti gejala penderaan kanak-kanak ini dapat diatasi dengan berkesan. Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani isu yang serius ini dan tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja.

PUNCA

Isu penderaan kanak-kanak merupakan isu yang tidak habis-habis diperkatakan, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Berita-berita tentang kanak-kanak yang didera sering dipaparkan.
Pada pendapat anda, mengapakan gejala ini berlaku?

 Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak itu seperti kain putih. Dia dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua-dua ibu bapa merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibu bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya. mereka haruslah dibelai, didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini telah terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak-kanak. Jika diselak dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang dipaparkan di dada akhbar. Mengapakah fenomena negatif ini akan berlaku? Adakah ibu bapa telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup masakan pokok akan bergoyang dan dengan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya.

 Salah satu punca berlakunya fenomena negatif ini adalah kerana masalah dalaman sesebuah keluarga. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila keadaan ini berlaku, produktiviti terhadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan menambahkan ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.

 Selain itu, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka. Anak merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan membimbing anak tersebut ke arah yang benar.

 Selain itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara mereka.

 Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau bagaimanapun, tidak ramai dala kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda. Ini kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di samping itu, orang muda pula sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah, menangis sepanjang waktu , menconteng buku, dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa.

 Konklusinya, punca berlakunya kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak ini bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa juga haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak di samping menanam sikap sayang-menyayangi antara mereka. Selain itu, semua pihak seperti ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain. Sebenarnya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi fenomena negatif sebelum ini tetapi usaha tersebut bagai hujan jatuh ke pasir kerana usaha yang diambil tidak berterusan serta tidak berkekalan. Oleh itu, usaha baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah hangat-hangat tahi ayam sahaja.

PUNCA-PUNCA PENDERAAN KANAK-KANAK


Punca-Punca Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak


Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.
 

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.
 

Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.
 

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
 

Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.
 

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.
 

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.
 

Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
 

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

KARANGAN PENDERAAN KANAK-KANAK


Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-Kanak Dan Masalah Pembuangan Bayi


Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak amat berleluasa di negara kita, Malaysia. Namun,gejala-gejala tersebut bukan lagi isu yang hangat lagi kerana telah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini. Hampir setiap hari media massa memaparkan berita yang berkaitan dengan gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak,tidak ketinggalan juga di corong-corong radio tempatan yang juga sering menyampaikan masalah-masalah tersebut. Namun, golongan yang tidak bertanggungjawab tersebut masih tidak mempunyai kesedaran serta perasaan malu apabila berita-berita  sedemikian disebarkan sehingga setiap lapisan masyarakat menyaksikan perbuatan kejam yang telah mereka lakukan ke atas golongan yang tidak berdosa ini. Walaupun mereka telah ditangkap dan dipenjarakan sehingga terdapat kes yang membawa mereka untuk dijatuhkan hukuman sampai mati. Hal ini jelas menunjukkan hanya manusia yang tidak mempunyai nilai moral yang boleh bertindak kejam seperti binatang yang tidak mempunyai akal fikiran seperti manusia.Bak kata pepatah ‘’janganlah sudah terhantuk baru tergadah’’.
 

Pelbagai pihak telah bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku,  namun tetap menghampakan kerana  tidak begitu efektif. Hal ini terbukti apabila gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari sehingga tahap yang kritikal. Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut. Masyarakat haruslah membuang sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka. Oleh sebab itu, masyarakat haruslah menanamkan sikap “jaga tepi kain orang” untuk mengetahui apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejala-gejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada zaman moden ini. Sementelahan pula, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat.
 

Selain itu,masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Hal ini penting bagi ibu bapa untuk memainkan peranan mereka. Bagi sesiapa yang bergelar ibu dan bapa kapada anak-anak mereka, wajarlah mereka bersikap tegas terhadap anak-anak supaya mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta rasa hormat dan taat kepada orang tua tersemai dalam diri mereka. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka dengan lebih ketat. Di samping itu, ibu bapa sendiri haruslah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja mudah terpengaruh dengan faktor persekitarannya. Bak kata pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Oleh sebab hal yang demikian, ibu bapa haruslah mempunyai pendidikan keagamaan yang kukuh supaya dapat disemaikan dalam diri anak-anak mereka. Pendidikan keagamaan merupakan satu langkah yang terbaik dalam mencegah segala perbuatan negatif yang menyumbang kepada gejala pembuangan bayi aakibat pergaulan seks bebas dalam kalangan golongan yang tidak bermoral ini.
 

Dalam usaha membanteras kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku,peranan masyarakat haruslah diutamakan. Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu, pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani membuang bayi secara sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu. Dalam usaha ini, penduduk setempat sendiri haruslah melakukan rondaan secara bergilir-gilir untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mencurigakan daripada berlaku.
 

Akhir sekali, masyarakat haruslah menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta amalkan gaya hidup sihat. Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti gejala pembuangan bayi akibat perhubungan yang terlanjur dan tidak ingin mempunyai anak haram serta dipandang hina oleh orang lain sehingga menemui jalan buntu iaitu membuang bayi yang tidak berdosa tersebut di merata-rata tempat. Sebaliknya masyarakat haruslah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta seperti Kempen Membanteras Gejala Pembuangan Bayi. Hal ini dapat mendedahkan natijah yang akan diperoleh seandainya terjerumus dengan perbuatan negatif tersebut. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, masyarakat secara automatik akan menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial. Hal ini akan menurunkan kadar gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak.
 

Sebagai intihanya, masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha menangani gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak daripada berlaku serta mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini. Bak kata pepatah sikap bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain. Hal ini penting bagi menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini. Tambahan pula, matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan direalisasikan serta imej negara dipandang tinggi di mata dunia.