Thursday, March 20, 2014

KEPADA PELAJAR 4SB / 4SD - COPY N PASTE  2 KARANGAN CONTOH DI BAWAH DAN PERIBAHASA KE DALAM BUKU KARANGAN DAN TATABAHASA 1

KARANGAN CONTOH 1

CARA-CARA MENANGANI KENAIKAN HARGA BARANG

Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?  Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.

Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.Memetik kata-kata azimat  Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. 

Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiridan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayangOleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.  Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin.

KARANGAN CONTOH 2
PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.

PERIBAHASA

SOALAN LATIHAN PERIBAHASA SPM



Peribahasa – Latihan 1
Nyatakan peribahasa yang sesuai untuk menerangkan situasi di bawah. Anda hanya perlu menulis peribahasa yang berkenaan sahaja.
(i) Setiap perkara yang hendak kita lakukan itu biarlah sesuai dengan kemampuan diri.
_______________________________________________________________

(ii) Perihal orang yang berada dalam keadaan yang sangat cemas.
_______________________________________________________________
(iii) Usaha menasihati seseorang yang sia-sia sahaja.


Peribahasa - Latihan 2
Kemukakan satu peribahasa yang menggambarkan setiap situasi di bawah.
(i) Perkara yang menjadi bahan percakapan orang.
_______________________________________________________________
(ii) Pergaduhan yang tidak menguntungkan sesiapa.
_______________________________________________________________
(iii) Keadaan hidup seseorang yang sangat daif.


Peribahasa - Latihan 3
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi berbeza yang terdapat dalam petikan tersebut.
Aku dengan Amirah bersahabat baik sejak kecil. Aku mempercayai dirinya dan yakin bahawa dia dapat menyimpan rahsiaku, namun telahanku silap. Amirah telah menceritakan rahsia peribadiku kepada orang lain sedangkan sebelum ini dia pernah berjanji untuk menyimpan rahsia tersebut walau berlaku apa-apa sekalipun. Betullah kata orang tua-tua bahawa kita tidak boleh menyamakan orang lain seperti diri kita. Mungkin sekarang Amirah sudah berubah. Sungguhpun begitu, tiada apa-apa yang boleh dibuat lagi. Semuanya sudah terlambat. Aku tidak mempercayainya lagi.





Peribahasa - Latihan 4
Baca petikan situasi di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan satu peribahasa yang menggambarkan setiap situasi tersebut.
(i) Abu tergolong dalam kelompok pelajar yang lemah di sekolah. Namun, dia belajar setiap hari dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu. Akhirnya, beliau dapat menguasai pelajaran setanding dengan rakan-rakan di kelas cemerlang.
_______________________________________________________________
(ii) Perpecahan dan pertelingkahan antara penduduk kampung akibat kehadiran lelaki yang mengajarkan ilmu sesat itu dapat diselesaikan apabila dia dibuang negeri.
_______________________________________________________________
(iii) Ismail mendapat khabar bahawa dia berjaya dalam temu duga untuk jawatan yang dipohon. Tanpa berfikir panjang, dia berhenti daripada ker]a yang dijawat sekarang kerana pendapatannya kecil. Malangnya, dia gagal mendapat pekerjaan itu dan kehilangan jawatan yang sedia ada.

_______________________________________________________________

Peribahasa - Latihan 5
Lengkapkan peribahasa yang berikut.
(i) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian
_____________________________________________________________

(ii) Banyak udang, banyak garam _________________________________________
(iii) Lain hulu lain parang __________________________________________________
(iv) Asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain
_____________________________________________________________
(v) Tak tumbuh tak melata _________________________________________________
(vi) Ada ubi ada batas______________________________________________________

Peribahasa - Latihan 6
Berdasarkan pernyataan berikut, nyatakan peribahasa yang paling sesuai bagi setiap situasi di bawah.
(i) Sikap tergesa-gesa pasti mengundang mala petaka jika tidak berhati-hati ketika berada di jalan raya. Ingatan inilah yang perlu disematkan dalam minda para pemandu, penunggang dan pengguna jalan raya.
_______________________________________________________________
(ii) Duit raya yang diterima oleh kanak-kanak wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan cara menyimpannya di dalam bank untuk masa depan mereka. Amalan menabung merupakan satu tindakan yang baik dan mengajar seseorang berjimat cermat.
_______________________________________________________________
(iii) Aktiviti bergotong-royong yang dilakukan oleh. penduduk kampung tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 150 penduduk pelbagai peringkat umur. Aktiviti seumpama ini merupakan satu titik permulaan bagi menyemai nilai murni di samping dapat mengukuhkan hubungan semangat kejiranan sesama mereka. 


Peribahasa - Latihan 7
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.
Pada hakikatnya, semua pelajar tidak kira Cina, Melayu atau India mampu meraih kecemerlangan jika ada kesungguhan. Hal itulah yang dibuktikan oleh seorang anak muda dari kampung yang berjaya menempatkan dirinya dengan pelajar bukan Melayu pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan baru-baru ini. Menurut beliau, faktor cemburu melihat rakan sebaya yang lain berjaya dengan cemerlang menambah tekadnya untuk terus bersaing dalam bidang akademik. Baginya kalau orang lain boleh berjaya, mengapa kita tidak boleh berjaya. Oleh itu, beliau sentiasa berusaha bersungguh-­sungguh dengan berkorban masa dan tenaga serta menguruskan masa dengan terancang. Berkat kesungguhannya, beliau berjaya memperoleh kejayaan dan bercadang melanjutkan pelajarannya di peringkat yang lebih tinggi.





Peribahasa - Latihan 8
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian nyatakan satu peribahasa yang sesuai dengan setiap situasi tersebut.
(i) Kehidupan Pak Ali sebagai penarik beca roda tiga di bandar itu amat daif, lebih-lebih lagi orang ramai semakin kurang menggunakan perkhidmatannya. Namun, dia enggan mencari kerja lain dan tidak yakin boleh membuat kerja lain.
_______________________________________________________________
(ii) Abu sentiasa berusaha dengan gigih untuk mengembangkan perniagaannya. Dia memulakan perniagaan dengan menjual majalah dan surat khabar, kemudian menjual buku-buku dan alat tulis. Kini, kedai Abu semakin banyak menjual barang untuk keperluan harian masyarakat di tempatnya.
_______________________________________________________________
(iii) Kamal terlalu boros dan suka berbelanja dengan mewah. Wang simpanannya telah habis dibelanjakan. Kini, baru dia sedar dan berazam untuk berjimat cermat.


Peribahasa - Latihan 9
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.
Sepuluh tahun lalu, Ahmad meninggalkan kampung halaman kerana kehidupan yang susah dan berlaku perselisihan dengan adik-beradiknya. Kini dia di perantauan dan dapat menikmati hidup yang agak selesa. Tetapi ingatan kepada kampung halaman masih membara. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan menetap di sana. Dia meminta maaf daripada adik-beradiknya di kampung atas kesalahannya yang lalu. Kini hubungannya dengan adik-beradik semakin mesra.
_______________________________________________________________

_______________________________________________________________

_______________________________________________________________

Peribahasa - Latihan 10
Isi tempat kosong dalam petikan di bawah dengan menggunakan peribahasa yang sesuai.

i. Pada mulanya beliau hanya bekerja sebagai pemotong daging di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, iaitu pada awal tahun 1990. Namun kini, dengan berkat usahanya yang gigih, beliau telah menjadi Pengarah Urusan di syarikatnya sendiri. Beliau percaya bahawa .....
_______________________________________________________________
ii. Sejak tahun 1995, sedikit demi sedikit Ahmad mengusahakan keropok lekornya sendiri secara kecil-kecilan. "....., biarlah aku mulakan dengan modal yang sedikit," bisik Ahmad.
_______________________________________________________________
iii. Pada peringkat awal Fatimah membuka gerai menjual pisang goreng di simpang tiga jalan yang agak sepi. Apabila melihat kejayaannya, ramai insan lain mula menceburkan diri dalam lapangan tersebut. Kini, gerai di kawasan itu .....

_______________________________________________________________