PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI
Alam yang terbentang luas ini merupakan anugerah tuhan yang paling bernilai dan kita sebagai makhluk yang berakal diamanahkan untuk menjaganya dengan sebaik-baiknya. Alam ini haruslah dijaga dengan teliti dan dilindungi daripada pencemaran. Namun, keadaan sekarang memperlihatkan bahawa manusia alpa dengan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia. Manusia lebih sibuk mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar. Antara yang teruk terjejas akibat perbuatan manusia ini ialah sungai. Oleh Itu, punca-punca yang menyebabkan pencemaran perlukah dikenal pasti dengan segera atau adakah kita mahu menunggu sehingga sungai di negara kita sudah teruk tercemar, barulah kita hendak mengambil tindakan seperti kata pepatah, sudah terhantuk baru tergadah?
Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Sampah sarap dan sisa buangan domestik yang dibuang ke dalam sungai memberikan kesan yang buruk kepada sungai. Hal ini kerana pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan sungai dipenuhi plastik sampah dan bahan terbuang yang terapung pada permukaan air. Selain itu, warna air sungai akan bertukar daripada jernih kepada kehitam-hitaman atau kehijau-hijaun. Sebagai contoh, di negara kita sendiri, jika kita lihat sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawasan kampung, keadaan sungai adalah keruh dan sisa-sisa sampah boleh dilihat terampai di permukaan sungai. Kesannya, hidupan akuatik akan musnah dan sumber air manusia akan tercemar serta menyebabkan bau yang kurang menenangkan. Oleh itu, pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menyebabkan pencemaran sungai.
Tambahan pula, pembuangan sisa-sisa daripada kilang-kilang juga menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Lazimnya, aktiviti pembuangan sisa-sisa ke dalam sungai ini adalah perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mementingkan keuntungan semata-mata. Kilang-kilang yang dibina di tepi sungai pada kebiasaanya akan mengalirkan sisa-sisa daripada kilang ke dalam sungai sebagai cara mudah untuk melupuskan sisa –sisa tersebut. Apabila sisa ini dialirkan ke sungai, pengusaha kilang dapat menjimatkan kos bagi pelupusan sisa tersebut. Sikap pengusaha tersebut diibaratkan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kesannya, sungai akan dicemari dengan sisa-sisa toksik dan bahan-bahan kimia yang merendahkan kualiti air dan sungai menjadi tidak sesuai untuk didiami hidupan-hidupan akuatik. Dengan ini, pengaliran sisa kilang sememangnya memberikan impak buruk kepada sungai.
Di samping itu, pencemaran sungai juga berpunca daripada kegiatan pembalakan. Kegiatan pembalakan merupakan kegiatan penebangan pokok-pokok untuk tujuan pembangunan dan industri pembuatan. Pencemaran sungai ini terjadi apabila ikatan zarah tanah menjadi longgar disebabkan akar pokok yang mengikat struktur tanah tersebut telah mati akibat daripada aktiviti penebangan. Oleh itu, tanah akan terhakis dengan mudah dan menyebabkan air sungai dicemari dengan tanah tersebut. Selain itu, ranting-ranting pokok dan kayu-kayu yang dibuang ke dalam sungai juga akan menyebabkan sungai-sungai tersekat. Kesannya, bencana alam seperti banjir kilat dan wabak penyakit akan berlaku dan kualiti air untuk tujuan domestik akan menurun berikutan adanya mendapan tanah yang banyak di dalam air sungai. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan pembalakan dapat memberikan kesan buruk terhadap sungai.
Kesimpulannya, punca-punca yang menyebabkan pencemaran sungai ini perlulah diteliti dengan lebih mendalam agar usaha-usaha menangani masalah pencemaran ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Pihak kerajaan seharusnya mengambil langkah yang proaktif dengan mengadakan lebih banyak kempen kesedaran tentang kepentingan penjagaan sungai. Malah pihak yang berwajib juga boleh mengenakan denda yang lebih tinggi kepada pihak-pihak yang melakukan pencemaran sungai serta mengadakan pemantauan yang lebih kerap terhadap kualiti air sungai di negara kita bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Diharapkan, pencemaran sungai dapat diatasi dengan segera agar generasi akan dating dapat menikmati alam sekitar yang kita wariskan kepada mereka tanpa sebarang masalah seperti kata bijak pandai, alam bukan diwarisi daripada nenek moyang tetapi dipinjam daripada generasi akan datang.