Monday, December 12, 2011

sektor pelancongan

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA



Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.

Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.

Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapa dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnya tidak harus kita tepikan kerana api takala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah. Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat tersebut pelancongan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adap resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita. Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.

Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

[823 patah kata]

sebab hindu tak makan lembu

Lembu dalam Budaya Hindu
oleh Uthaya Sankar SB , December 5, 2011
(Penulis menjelaskan antara sebab kaum India-Hindu tidak makan daging lembu.)

Suatu perkara yang sepatutnya (ulang: sepatutnya) sudah diketahui masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India beragama Hindu tidak makan daging lembu.

Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya akan diberikan jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu berasaskan budaya dan kepercayaan tradisional; bukan berikutan tuntutan agama semata-mata.

Kaum India-Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu dihargai.Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina akan segera bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya.Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.

Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi; dengan erti kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung hidup padanya. Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan lembu dikatakan mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan menanggung derita demi “anak-anak”. Sekiranya kita berpeluang memperhatikan kehidupan petani dan pesawah kaum India yang masih menggunakan khidmat lembu, maka kita akan lebih memahami sentimen kaum India terhadap haiwan berkenaan.

Sejak zaman dahulu, lembu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Benua Kecil India. Hasil kajian arkeologi menemukan bukti kewujudan Tamadun Harappa dan Mohenjo-daro di Lembah Indus sekitar tahun 2500-1500 SM. Antara barangan yang ditemui adalah mohor daripada batu yang mempunyai ukiran lembu jantan dan betina. Tentulah binatang berkenaan mempunyai peranan penting dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu sehingga diabadikan pada mohor. Lembu membantu petani dan pesawah untuk membajak. Haiwan itu juga digunakan untuk mengangkut barang serta menarik kereta lembu. Ringkasnya, lembu merupakan binatang yang amat diperlukan dalam kehidupan seharian masyarakat India tradisional. Kita tidak perlu memiliki ijazah Doktor Falsafah untuk memahami, menyedari dan mengakui hakikat itu.

Hubungan dengan Dewa

Dalam pada itu, bagi orang ramai yang berpeluang membaca teks Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) secara teliti dan mendalam, pasti tahu mengenai individu yang dikatakan lahir daripada muntah seekor lembu dan meneruskan jurai keturunan Melayu yang ada sekarang.

Kalau diteliti dalam teks klasik India yang dinamakan purana iaitu cerita dewa-dewi, akan dijelaskan bahawa bukan hanya manusia bergantung pada lembu. Dewa-dewi sendiri mempunyai hubungan rapat dengan mamalia berkenaan. Misalnya, Dewa Shiva menjadikan lembu sebagai wahana rasmi. Sekiranya kita berpeluang melawat kuil Dewa Shiva, pasti akan kelihatan patung lembu betina yang dinamakan “nandhi” di kuil berkenaan.

Lembu turut menjadi wahana serta binatang kesayangan Dewa Krishna. Tidak setakat itu, purana menggambarkan Dewa Krishna sebagai pengembala lembu. Terdapat juga sebuah cerita di mana Dewa Krishna mengangkat Gunung Govardhan semasa hujan lebat supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh berlindung di bawahnya. Sejak dahulu, petani kaum India merayakan ponggal iaitu pesta menuai selama beberapa hari. Hari kedua pesta menuai ini adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas bagi lembu peliharaan.

Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian. Lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan nasi manis yang dimasak khas untuknya.

Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan. Lembu sesungguhnya memberikan sumbangan besar kepada keluarga si penternak. Lembu jantan biasanya membantu membajak serta mengangkut barang. Lembu betina pula membekalkan susu yang amat diperlukan untuk diminum, dijadikan susu masam atau dijadikan minyak sapi. Lembu turut membekalkan tahi yang dijadikan baja organik. Di India, tahi lembu juga dijadikan bahan bakar selepas dikeringkan; termasuk sebagai bahan bakar apabila jenazah dibakar mengikut adat Hindu.

Kajian saintifik membuktikan bahawa tahi lembu mempunyai kandungan bahan kimia yang mampu menghalau serangga perosak dan membunuh kuman. Amalan tradisi itu ada saya selitkan pada perenggan pertama cerpen “Doa Tahun Baru” (Siru Kambam, 1996) sebagai usaha awal menggambarkan budaya kaum India dalam karya Bahasa Malaysia. Mungkin orang ramai sedia maklum mengenai Dewi Lakshmi dalam konsep budaya India dan agama Hindu. Tambahan pula, ramai yang suka menonton filem Tamil dan Hindi.

Komatha

Dewi berkenaan dianggap sebagai sumber kekayaan. Namun, tidak ramai – termasuk kaum India beragama Hindu – yang tahu bahawa Dewi Lakshmi dikatakan menghuni tahi lembu.
Mitos dan purana ini sebenarnya bertujuan menunjukkan bagaimana “kekayaan” (Dewi Lakshmi) terdapat juga pada tahi lembu yang mungkin dianggap sebagai bahan buangan yang tidak berguna.

Air kencing lembu turut terbukti secara saintifik mengandungi bahan yang mampu mengubati beberapa penyakit kulit serta bertindak sebagai bahan antiseptik. Kelebihan ini ternyata sudah diketahui masyarakat India sejak sekitar tahun 2500 SM! Air kencing lembu biasanya direnjis pada lantai rumah untuk membersihkannya daripada kuman.

Tahi lembu yang dikeringkan pula sering dibakar dan asapnya dibiarkan memenuhi rumah kediaman. Langkah ini bagi membersihkan udara di dalam rumah daripada bakteria. Selain itu, khasiat susu lembu adalah suatu hakikat yang sudah diketahui umum. Secara tradisi, keluarga dalam masyarakat India bergantung pada susu yang dibekalkan oleh lembu peliharaan keluarga mereka.

Susu lembu menjadi minuman sejak bayi. Maka itulah lembu yang membekalkan susu tadi dianggap sebagai “ibu susu” bagi anak-anak dalam keluarga berkenaan. Konsep ini sama sahaja dengan konsep “ibu susu” yang terdapat dalam budaya kaum/agama lain di seluruh dunia. Itulah juga antara sebab utama mengapa masyarakat India menganggap lembu peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga berkenaan. Malah, lembu digelar “komatha” iaitu gelaran sama seperti “ibu”. Sejak kecil, anak-anak dididik supaya menyayangi serta menghormati lembu yang dipelihara sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

Lembu juga menjadi simbol kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan. Apabila seseorang membeli – atau membina – sebuah rumah baru, maka tuan rumah akan mengadakan upacara sembahyang khas. Pada upacara berkenaan, seekor lembu betina akan dibawa masuk ke dalam rumah. Lembu itu akan dibawa ke setiap bilik dan ruang yang terdapat di rumah berkenaan. Malah, jika rumah itu merupakan rumah dua atau tiga tingkat, lembu berkenaan akan dibawa menaiki tangga! Tindakan ini dianggap sebagai mengundang Dewi Lakshmi (“kekayaan” dan “kemakmuran”) bertandang ke rumah. Malah, tuan rumah dikatakan amat bertuah sekiranya lembu itu kencing atau berak semasa berada di dalam rumah berkenaan.

Demikianlah lembu yang pendiam diberi kedudukan yang amat mulia dalam budaya kaum India sejak dahulu. Atas dasar itulah juga kaum India-Hindu tidak menyakiti, menganiaya, membunuh – apatah lagi makan! – lembu hingga kini.

Mahatma Gandhi sendiri beranggapan bahawa lembu adalah wakil bagi manusia memahami dunia binatang yang bisu. Menurut beliau, walaupun “bisu” dan tidak mampu berkata-kata, lembu mampu berkomunikasi bersama manusia melalui pergerakan matanya yang besar dan bulat.

Apa yang pasti, kaum India-Hindu di seluruh dunia amat menghargai jasa lembu. Walaupun tidak ramai petani/penternak kaum India yang masih memelihara lembu, amalan yang mendarah-daging sejak hampir 4,500 tahun lalu tentu sahaja sukar dilupakan.
Mungkin ada individu kaum India (khususnya yang tidak mengamalkan ajaran agama Hindu) yang makan daging lembu tetapi itu adalah kes terpencil yang tidak mewakili masyarakat India secara keseluruhan.

(Sumber: Ruangan Mandala Bicara Uthaya Sankar SB. Uthaya Sankar SB sering memaparkan budaya kaum India menerusi cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkannya sejak 1991.)