Monday, December 12, 2011

sektor pelancongan

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA



Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.Pelancongan Asia Barat menunjukkan peningkatanpada tahun 2006 berbanding tahun 2005.Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang lembap kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.

Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragramatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancongan ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.

Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapa dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnya tidak harus kita tepikan kerana api takala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak di perkenalkan oleh guru Sejarah. Kelab pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat tersebut pelancongan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adap resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.

Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita. Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong dalam negara, kita akan mengetahui apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negeri. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khzanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.

Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana pepatah mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

[823 patah kata]

sebab hindu tak makan lembu

Lembu dalam Budaya Hindu
oleh Uthaya Sankar SB , December 5, 2011
(Penulis menjelaskan antara sebab kaum India-Hindu tidak makan daging lembu.)

Suatu perkara yang sepatutnya (ulang: sepatutnya) sudah diketahui masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India beragama Hindu tidak makan daging lembu.

Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya akan diberikan jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu berasaskan budaya dan kepercayaan tradisional; bukan berikutan tuntutan agama semata-mata.

Kaum India-Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu dihargai.Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina akan segera bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya.Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.

Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi; dengan erti kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung hidup padanya. Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan lembu dikatakan mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan menanggung derita demi “anak-anak”. Sekiranya kita berpeluang memperhatikan kehidupan petani dan pesawah kaum India yang masih menggunakan khidmat lembu, maka kita akan lebih memahami sentimen kaum India terhadap haiwan berkenaan.

Sejak zaman dahulu, lembu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Benua Kecil India. Hasil kajian arkeologi menemukan bukti kewujudan Tamadun Harappa dan Mohenjo-daro di Lembah Indus sekitar tahun 2500-1500 SM. Antara barangan yang ditemui adalah mohor daripada batu yang mempunyai ukiran lembu jantan dan betina. Tentulah binatang berkenaan mempunyai peranan penting dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu sehingga diabadikan pada mohor. Lembu membantu petani dan pesawah untuk membajak. Haiwan itu juga digunakan untuk mengangkut barang serta menarik kereta lembu. Ringkasnya, lembu merupakan binatang yang amat diperlukan dalam kehidupan seharian masyarakat India tradisional. Kita tidak perlu memiliki ijazah Doktor Falsafah untuk memahami, menyedari dan mengakui hakikat itu.

Hubungan dengan Dewa

Dalam pada itu, bagi orang ramai yang berpeluang membaca teks Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) secara teliti dan mendalam, pasti tahu mengenai individu yang dikatakan lahir daripada muntah seekor lembu dan meneruskan jurai keturunan Melayu yang ada sekarang.

Kalau diteliti dalam teks klasik India yang dinamakan purana iaitu cerita dewa-dewi, akan dijelaskan bahawa bukan hanya manusia bergantung pada lembu. Dewa-dewi sendiri mempunyai hubungan rapat dengan mamalia berkenaan. Misalnya, Dewa Shiva menjadikan lembu sebagai wahana rasmi. Sekiranya kita berpeluang melawat kuil Dewa Shiva, pasti akan kelihatan patung lembu betina yang dinamakan “nandhi” di kuil berkenaan.

Lembu turut menjadi wahana serta binatang kesayangan Dewa Krishna. Tidak setakat itu, purana menggambarkan Dewa Krishna sebagai pengembala lembu. Terdapat juga sebuah cerita di mana Dewa Krishna mengangkat Gunung Govardhan semasa hujan lebat supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh berlindung di bawahnya. Sejak dahulu, petani kaum India merayakan ponggal iaitu pesta menuai selama beberapa hari. Hari kedua pesta menuai ini adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas bagi lembu peliharaan.

Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian. Lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan nasi manis yang dimasak khas untuknya.

Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan. Lembu sesungguhnya memberikan sumbangan besar kepada keluarga si penternak. Lembu jantan biasanya membantu membajak serta mengangkut barang. Lembu betina pula membekalkan susu yang amat diperlukan untuk diminum, dijadikan susu masam atau dijadikan minyak sapi. Lembu turut membekalkan tahi yang dijadikan baja organik. Di India, tahi lembu juga dijadikan bahan bakar selepas dikeringkan; termasuk sebagai bahan bakar apabila jenazah dibakar mengikut adat Hindu.

Kajian saintifik membuktikan bahawa tahi lembu mempunyai kandungan bahan kimia yang mampu menghalau serangga perosak dan membunuh kuman. Amalan tradisi itu ada saya selitkan pada perenggan pertama cerpen “Doa Tahun Baru” (Siru Kambam, 1996) sebagai usaha awal menggambarkan budaya kaum India dalam karya Bahasa Malaysia. Mungkin orang ramai sedia maklum mengenai Dewi Lakshmi dalam konsep budaya India dan agama Hindu. Tambahan pula, ramai yang suka menonton filem Tamil dan Hindi.

Komatha

Dewi berkenaan dianggap sebagai sumber kekayaan. Namun, tidak ramai – termasuk kaum India beragama Hindu – yang tahu bahawa Dewi Lakshmi dikatakan menghuni tahi lembu.
Mitos dan purana ini sebenarnya bertujuan menunjukkan bagaimana “kekayaan” (Dewi Lakshmi) terdapat juga pada tahi lembu yang mungkin dianggap sebagai bahan buangan yang tidak berguna.

Air kencing lembu turut terbukti secara saintifik mengandungi bahan yang mampu mengubati beberapa penyakit kulit serta bertindak sebagai bahan antiseptik. Kelebihan ini ternyata sudah diketahui masyarakat India sejak sekitar tahun 2500 SM! Air kencing lembu biasanya direnjis pada lantai rumah untuk membersihkannya daripada kuman.

Tahi lembu yang dikeringkan pula sering dibakar dan asapnya dibiarkan memenuhi rumah kediaman. Langkah ini bagi membersihkan udara di dalam rumah daripada bakteria. Selain itu, khasiat susu lembu adalah suatu hakikat yang sudah diketahui umum. Secara tradisi, keluarga dalam masyarakat India bergantung pada susu yang dibekalkan oleh lembu peliharaan keluarga mereka.

Susu lembu menjadi minuman sejak bayi. Maka itulah lembu yang membekalkan susu tadi dianggap sebagai “ibu susu” bagi anak-anak dalam keluarga berkenaan. Konsep ini sama sahaja dengan konsep “ibu susu” yang terdapat dalam budaya kaum/agama lain di seluruh dunia. Itulah juga antara sebab utama mengapa masyarakat India menganggap lembu peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga berkenaan. Malah, lembu digelar “komatha” iaitu gelaran sama seperti “ibu”. Sejak kecil, anak-anak dididik supaya menyayangi serta menghormati lembu yang dipelihara sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

Lembu juga menjadi simbol kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan. Apabila seseorang membeli – atau membina – sebuah rumah baru, maka tuan rumah akan mengadakan upacara sembahyang khas. Pada upacara berkenaan, seekor lembu betina akan dibawa masuk ke dalam rumah. Lembu itu akan dibawa ke setiap bilik dan ruang yang terdapat di rumah berkenaan. Malah, jika rumah itu merupakan rumah dua atau tiga tingkat, lembu berkenaan akan dibawa menaiki tangga! Tindakan ini dianggap sebagai mengundang Dewi Lakshmi (“kekayaan” dan “kemakmuran”) bertandang ke rumah. Malah, tuan rumah dikatakan amat bertuah sekiranya lembu itu kencing atau berak semasa berada di dalam rumah berkenaan.

Demikianlah lembu yang pendiam diberi kedudukan yang amat mulia dalam budaya kaum India sejak dahulu. Atas dasar itulah juga kaum India-Hindu tidak menyakiti, menganiaya, membunuh – apatah lagi makan! – lembu hingga kini.

Mahatma Gandhi sendiri beranggapan bahawa lembu adalah wakil bagi manusia memahami dunia binatang yang bisu. Menurut beliau, walaupun “bisu” dan tidak mampu berkata-kata, lembu mampu berkomunikasi bersama manusia melalui pergerakan matanya yang besar dan bulat.

Apa yang pasti, kaum India-Hindu di seluruh dunia amat menghargai jasa lembu. Walaupun tidak ramai petani/penternak kaum India yang masih memelihara lembu, amalan yang mendarah-daging sejak hampir 4,500 tahun lalu tentu sahaja sukar dilupakan.
Mungkin ada individu kaum India (khususnya yang tidak mengamalkan ajaran agama Hindu) yang makan daging lembu tetapi itu adalah kes terpencil yang tidak mewakili masyarakat India secara keseluruhan.

(Sumber: Ruangan Mandala Bicara Uthaya Sankar SB. Uthaya Sankar SB sering memaparkan budaya kaum India menerusi cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkannya sejak 1991.)

Tuesday, November 22, 2011

ISI KARANGAN

Langkah-langkah untuk Mengatasi Jenayah Ragut.

Pendahuluan
Jenayah ragut semakin berleluasa dan sering dilaporkan media.
Mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Kerajaan melakukan pelbagai langkah pencegahan, namun masalah ini masih wujud.
Terdapat pelbagai langkah untuk menangani gejala ini.
Peribahasa : api dalam sekam. duri dalam daging.

Isi 1
Tingkatkan pengawasan polis di kawasan panas.Contoh, tempat tumpuan umum, stesen bas,LRT, pusat beli-belah dll.
Rondaan yang lebih kerap. dan berterusan.
Tempatkan polis berpakaian awam.
Menambah bilangan polis bantuan.
Peribahasa : mencegah lebih baik daripada mengubati.

Isi 2
Memasang kameralitar tertutup di tempat awam. Disambungkan dengan balai polis berhampiran.
Tujuannya untuk mengesan pergerakan peragut.
Dapat menghalang peragut kerana bimbang aktiviti mereka dikesan.
Peribahasa : sediakan payung sebelum hujan.

Isi 3
Kesedaran masyarakat tentang jenayah dipertingkatkan.
Mengelakkan pemakaian barangan kemas yang berlebihan.
Tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
Menggunakan kad kredit untuk transaksi.
Peribahasa : hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Isi 4

Merancang waktu dan tempat tujuan.
Bergerak dalam kumpulan agar tidak terdedah pada gejala ragut.
Tidak melalui kawasan sunyi.
Mengelakkan waktu puncak dan masa-masa sesak.
Peribahasa : air tenang jangan disangka tiada buaya.


Isi 5

Sentiasa peka dengan persekitaran.
Kaum wanita tidak membawa beg tangan secara sambalewa.
Memastikan barang berharga disimpan di tempat yang selamat,contohnya poket rahsia.
Hindarkan diri daripada orang-orang yang mencurigakan.
Belajar seni pertahanan diri.
Membawa bahan-bahan pertahanan diri seperti serbu cili, semburan pemedih mata,dsb.
Peribahasa : sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna.

Isi 6

Badan sukarela turut berperanan menjaga ketenteraman awam,contohnya Jabatan Pertahanan Awam, RELA,dsb.
Menempatkan anggota di tempat-tempat strategik untuk memantau keadaan.
Menganjurkan ceramah dan kempen antiragut secara lebih kerap.
Peribahasa : beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Kesimpulan.
Jenayah ragut perlu dibendung. Pelbagai langkah dapat diaplikasikan.
Semua pihak perlu memberikan kerjasama untuk mengatasinya.
Jika tidak imej negara akan terjejas dengan teruk.
Keselamatan rakyat perlu diutamakan sejajar dengan semangat 1 Malaysia.
Peribahasa : ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Sumbangan kepada Negara yang Mengalami Bencana Alam

Soalan : Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, banjir, dan sebagainya sering berlaku di serata dunia. Sebagai sebuah negara yang prihatin, negara kita sering menghulurkan sumbangan untuk membantu negara-negara berkenaan. Jelaskan bentuk-bentuk sumbangan yang dapat diberikan kepada negara-negara yang mengalami bencana alam.

Rangka karangan

Pendahuluan
Terangkan maksud (definisi) bencana alam. Berikan beberapa contoh bencana alam yang besar. Nyatakan negeri-negeri yang pernah dilanda bencana alam. Kaitkan dengan kata kunci soalan.

Isi 1
Bantuan kepakaran mencari dan menyelamat.
- Hantar pasukan SMART iaitu pasukan mencari dan menyelamat ke negara berkenaan.
- Dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan anjing pengesan.
- Dapat membantu mencari mangsa yang mungkin terselamat.
- Memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang memerlukan.
- Peribahasa : ke bukit sama didakim ke lurah sama dituruni.

Isi 2
Masyarakat Malaysia menganjurkan kutipan derma.
- Dimulakan dengan kempen oleh pihak kerajaan.
- Pejabat-pejabat kerajaan turut membuat kutipan.
- Murid-murid sekolah dapat memberikan derma melalui sekolah.
- Masyarakat awam boleh mengutip derma melalui institusi agama seperti masjid, kuil, persatuan, dan lain.
Peribahasa : hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Isi 3
Bantuan keperluan asas.
- Barang-barang keperluan harian seperti pakaian, selimut, khemah, air bersih, dan makanan.
- Berikan juga ubat-ubatan kerana kawasan bencana sering dilanda penyakit.
- Peralatan dapur seperti peralatan memasak, pisau, dan sebagainya.
Peribahasa : mencegah lebih baik daripada mengubati.

Isi 4
Bantuan dalam bentuk motivasi dan sokongan moral.
- Membuat sesi kaunseling untuk mangsa bencana.
- Mencipta puisi dan lagu untuk menaikkan semangat dan keyakinan mangsa.
- Mendengar rintihan dan luahan perasaan mangsa.
Peribahasa : berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Isi 5
Bantuan dalam bentuk pendidikan.
- Menghantarkan tenaga pengajar sementara.
- Mendirikan bangunan sekolah sementara untuk anak-anak mangsa.
- Membekalkan alat tulis, buku, dan beg sekolah untuk anak-anak mangsa.
Peribahasa : hidup ibarat roda, sekali ke atas sekali ke bawah.

Kesimpulan
Pelbagai bentuk bantuan dapat diberikan kepada mangsa bencana alam.
Semua pihak mesti bekerjasama untuk membantu pihak yang malang.
Jika tidak keadaan mangsa tidak terbela dan memudaratkan.
Bantuan yang diberikan dapat mengurangkan beban mangsa.
Peribahasa : cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

KARANGAN ISU PELANCONGAN

Karangan Isu Pelancongan


Sektor pelancongan merupakan sumber pendapatan yang kedua pentingnya di negara kita. Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 350 patah perkataan.

Cadangan jawaban
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.


Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

ISI KARANGAN

Karangan Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Pengetahuan : Bincangkan.

Pendahuluan
Perpustakaan ialah tempat rujukan. Murid sekolah mestilah memanfaatkan perpustakaan.
Perpustakaan ditubuhkan di sekolah, daerah, negeri, institusi pendidikan tinggi, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai kebaikan jika murid/remaja mengunjungi perpustakaan.
Peribahasa/kata-kata indah : membaca jambatan ilmu.

Isi 1
Murid dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan. Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan spt. buku teks, buku ulasan, buku ulang kaji, kertas model, surat khabar, jurnal, majalah, dll.
Bahan-bahan ini dapat meningkatkan pengetahuan murid/remaja. Khususnya murid yang akan menduduki peperiksaan utama spt PMR, SPM, STPM.
Bahan disediakan secara percuma dan boleh dipinjam oleh murid.
Peribahasa : Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Isi 2
Murid/remaja dapat belajar dalam keadaan tenang di perpustakaan.
Suasana di dalam perpustakaan sangat selesa (kondusif), tenang, tidak bising.
Perpustakaan dilengkapi dengan pendingin hawa/penyaman udara.
Perpustakaan menetapkan peraturan supaya pengunjung tidak membuat bising. Membantu murid/remaja belajar secara berkesan.
Peribahasa : sambil menyelam minum air.

Isi 3.
Murid/remaja dapat menggunakan masa secara bermanfaat.
Dapat mengelakkan murid/remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah spt melepak, terlibat dengan gejala sosial, dadah, berpeleseran, dll.
Ibu bapa tidak berasa bimbang akan keselamatan anak-anak remaja mereka terutama pada masa cuti atau hujung minggu.
Peribahasa : Masa itu emas.

Isi 4.
Murid/remaja dapat memupuk semangat perpaduan dengan lebih berkesan.
Perpustakaan dapat dijadikan tempat interaksi remaja daripada pelbagai kaum.
Mewujudkan kumpulan perbincangan kecil untuk belajar bersama-sama.
Memberi peluang kepada murid/remaja mengenali budaya, agama, bangsa-bangsa yang berbeza-beza.
Peribahasa : Tak kenal maka tak cinta.

Isi 5.
Memberikan peluang murid/remaja mengakses ilmu melalui pelbagai kemudahan elektronik.
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet. Murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran seperti nota, soalan-soalan latihan, soalan ramalan, dan sebagainya.
Contoh laman sesawang bercorak akademik ialah tutor.com.my, skorA.com.my, laman-laman sesawang guru cemerlang, dan sebagainya.
Peribahasa : kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Kesimpulan
Banyak kebaikan perpustakaan yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya remaja.
Semua pihak hendaklah mengambil peluang untuk memantapkan pengetahuan dengan mengunjungi perpustakaan.
Remaja yang tidak mengunjungi perpustakaan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Remaja yang berpengetahuan dapat bersaing dengan semangat 1 Malaysia.

PERIBAHASA PENTING 2012

Peribahasa


Peribahasa Maksud Peribahasa
Ada hati Keinginan
Alah bisa tegal biasa Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa
Alang-alang mandi biar basah Jika mengerjakan sesuatu janganlah sekerat jalan
Ambil berat Memberikan perhatian yang istimewa terhadap sesuatu
Ambil langkah Mula hendak bertindak
Anak buah Orang yang termasuk dalam sesuatu keluarga/pasukan/ terletak di bawah tenggungjawab seseorang
Anak emas Anak abdi yang diambil jadi anak angkat oleh suaminya; orang yang dikasihi dan diberikan layanan istimewa.
Asam garam Berbagai-bagai pengalaman hidup (pahit, manis, suka duka)
Bagai anjing buruk kepala Orang yang telah diketahui kejahatannya ke mana pergi dihinakan orang juga
Bagai bulan dipagari bintang Kecantikan makin terserlah apabila dikelilingi orang yang cantik.
Bagai bulan empat belas Peri keelokan muka perempuan
Bagai cincin dengan permata Sama padan, cocok benar
Bagai layang-layang putus tali Sudah putus harapan
Bagai minyak dengan air Orang bermusuhan atau tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu
Bagai murai dicabut ekor Perempuan yang suka bercakap banyak
Bagai pucuk dilancarkan Sangat laju atau luncur perginya
Bagaimana acuan begitulah kuihnya Anak itu mengikut sikap dan rupa ibu bapanya kerana faktor baka
Baik berjagiung-jagung sementara menanti padi masak Sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai dahulu.
Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang Semakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendahkan diri (tidak sombong)
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian Bersusah payah dahulu kemudian baru bersenang-senang
Berkatakanlah besar walaupun pahit Berterus-terang demi kebenaran walaupun mungkin menyakitkan hati seseorang
Berpeluk tubuh Berdakap tubuh; tidak membuat apa-apa kerja
Berpeluk tubuh Hanya memandang dari jauh sahaja, tidak melalukakan apa-apa hanya melihat sahaja.
Bersatu teguh bercerai roboh Kalau kita bersatu padu, kita akan menjadi kuat tetapi kalau kita bercerai-berai, kita akan menjadi lemah.
Bersekutu bertambah mutu Bekerjasama antara satu sama lain akan menghasilkan kecemerlangan
Bertangguh itu pencuri masa Melakukan kerja secara bertangguh akan merugikan diri sendiri.
Besar hati Bangga, gembira, bongkak, sombong
Biar putih tulang jangan putih mata Lebih baik mati daripada menanbggung malu
Buah fikiran Pendapat
Buah hati Orang yang dikasihi
Buah mulut Percakapan orang,
Buah tangan Hasil pekerjaan; barang yang dibawa daripada perjalanan; ole-ole
Bulat hati Lurus hati, teguh hati ,sungguh-sungguh
Dalam tangan dalam kekuasaan seseorang
Darah daging Anak atau orang yang mempunyai pertalian darah
Darah panas Pemarah, lekas marah
Diam-diam ubu berisi, diam-diam besi berkarat Diam orang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja
Hancur hati Sedih; putus asa
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama Orang yang berjasa itu akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lamapun dia telah mati.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih Jika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian kebalikannya
Hidup ini satu perlumbaan Dalam kehiduoan seharian, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu tujuan.
Hidup segan mati tak mahu Orang yang hidup melarat
Indah khabar daripada rupa Khabar mengenai satu-satu perkara biasanya dilebih-lebihkan
Jauhari juga yang mengenal manikam Hanya orang yang bijak sahaja yang mengetahui tentang keelokan ilmu
Kaki ayam Tidak berkasut atau berselipar
Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya Tidak tercapai cita-cita jika tidak berusaha
Kancil juga lupakan jerat Orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam
Kata dikota Janji mesti ditunaikan
Kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedang Perkataan yang dituturkan lebih menyakitkan
Kebudayaan sendi perpaduan Kebudayaan menjadi sandaran dalam menyatukan sesuatu bangsa
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa Pengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja
Makan angin Bersiar-siar untuk mendapatkan angin; melapangkan fikiran
Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang Yang nampak baik itu jangan lekas diterima dan yang nampaknya buruk itu jangan lekas ditolak.
Masa itu emas Masa sangat berharga
Membaca jambatan ilmu Ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan
Mencari akal Berusaha mendapatkan cara untuk mencapai tujuan
Muafakat membawa berkat Sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik.
Nasi sudah menjadi bubur Perbuatan yang sudah terlanjut; tidak dapat diubah lagi.
Otak yang cerdas ada pada badan yang sihat Dengan kesihatan yang baik, seseorang itu mampu mengemukakan fikiran yang bernas.
Padang jarak padang terkukur Padang atau tanah luas yaditinggalkan
Putih mata Berhiba hati menanggung rindu (seperti orang muda melihat tunangnya diambil orang)
Putus asa Habis harapan (tiada harapan lagi
Rezeki kalau secupak takkkan jadi segantang Sesuatu sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi.
Ringan mulut Peramah, lancar dan fasih tutur katanya
Ringan tulang Rajin bekerja, tangkas
Sayang akan tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan Anak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti selalu itu akhirnya menjadi sombong
Sepakat membawa berkat Sesuatu pekerjaan jika dilakukan melalui pakatan atau mesyuarat akan membawa hasil yang baik
Seperti enai dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing Tidak muafakat dalam sesuatu perbincangan, hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja
Seperti lipas kudung Selalu bergerak dengan cepat; pantas atau cekap membuat kerja
Sudah terhantuk baru terngadah Sesudah terkena baru beringat-ingat
Tajam akal Mudah menangkap sesuatu atau mengerti, pintar , cerdik
Tali barut Orang yang menjadi ampama 9penyampai rahsia orang lain), barua
Tangan terbuka Suka menolong orang yang dalam kesusahan, murah hati
Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia Walaupun bersifat lemah-lembut dan keibuan, wanita mampu menyumbangkan untuk membangunkan negara
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain Tempat berlakunya sesuatu peristiwa pahit lagikan dikenang inikan pula tempat berlakunya peristiwa manis.
Terang hati Terang fikiran; mudah mengerti
Tulang empat kerat Anggota badan
Ukur baju di badan sendiri Tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dengan kebolehan kita
Umpama telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya Orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya.